suria

Orang Ramai Digalak Guna Pengangkutan Awam Pulang Ke Kampung

KUALA LUMPUR: Orang ramai digalakkan menaiki pengangkutan awam untuk pulang ke kampung pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi bagi mengelak kesesakan jalan raya dan mengurangkan kemalangan jiwa.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pengangkutan awam, khasnya bas, telah terbukti kurang terlibat dalam kemalangan maut berbanding kenderaan lain berdasarkan laporan operasi keselamatan jalan raya tahun lepas.

"Rekod Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa bas mencatatkan kematian sifar pada 'Ops Sikap 25' selain hanya terlibat dalam 32 kes kemalangan daripada 6,917 kes secara keseluruhan tahun lepas," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Tahun Baharu Cina bertemakan 'Penggunaan Pengangkutan Awam Mengurangkan Kemalangan' di sini, Isnin.

Bagi memastikan keselamatan penumpang bas terjamin, Kong berkata anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan operasi pemeriksaan di terminal dan depoh bas seluruh negara, selain menyamar sebagai penumpang bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu.

"Pemeriksaan ini juga ditumpukan kepada tahap kecerdasan pemandu bas dan bagi memastikan mereka bebas pengaruh dadah atau minuman memabukkan," katanya sambil menambah pemeriksaan akan turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan polis.

Sementara itu, polis akan menempatkan anggota bagi memantau 150 kawasan mudah berlaku kemalangan yang dikenal pasti di seluruh negara pada Ops Selamat II sempena perayaan itu.

Sehubungan itu, cuti anggota dan pegawai polis trafik telah dibekukan, kata Timbalan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman ACP Mohd Fuad Abdul Latif.

"Selain mengurangkan kadar kemalangan maut serta jumlah kematian pada musim perayaan, Op Selamat juga merangkumi pencegahan jenayah termasuk berkaitan harta benda dan sebagainya," katanya kepada Bernama.

Operasi mengawasi keselamatan jalan raya semasa musim perayaan sebelum ini antara lain dikenali sebagai Ops Sikap, Ops Statik dan Ops Pacak.

Menurut statistik Ops Selamat tahun lepas, 17,937 kemalangan dilaporkan, berbanding 19,606 pada 2011. Ia melibatkan 243 kes kemalangan maut pada 2012, berbanding 289 kes pada 2011.

Mohd Fuad menjelaskan kehadiran polis menerusi konsep ronda dan statik di lokasi 'berisiko kemalangan' turut melibatkan pendekatan menggunakan kanopi di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah yang turut menjadi tempat pertemuan petugas polis trafik dan agensi seperti JPJ dan bomba.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin pula berkata polis akan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

Beliau meminta orang ramai yang ingin pulang ke kampung untuk tempoh agak panjang supaya memaklumkan kepada polis untuk memudahkan polis membuat pemerhatian. "Gunakan borang maklumat balik kampung yang boleh didapati di portal laman web rasmi polis pada www.rmp.gov.my, cetak dan lengkapkan borang itu dan serahkan kepada balai polis berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sani Express, Abu Bakar Mohd berkata tiket bas syarikat itu ke semua laluan termasuk Pantai Timur dan Utara dari 7 hingga 9 Februari telah habis dijual.

KTM Berhad pula menawarkan 77,000 tiket bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan KTM Intercity sempena perayaan itu.

Pengurus Kanan Pemasaran Perkhidmatan InterCity, Mohd Noordin Kimi berkata lebih 31,000 tiket dijual bagi tempoh 4 hingga 9 Februaari.

"Untuk memenuhi keperluan penumpang, kami akan menambah gerabak dari semasa ke semasa," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain