suria

Lebih Masa Untuk Peguam & Badan Peguam Selesaikan Saman di Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Pihak yang terlibat dalam kes saman yang dikemukakan seorang peguam terhadap Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam berhubung mesyuarat agung luar biasa (EGM) telah diberikan lebih banyak masa untuk menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louise O’Hara membenarkan masa tambahan diberikan kepada pihak yang terlibat untuk mengadakan perbincangan lanjut dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan.

Hakim O’Hara membuat keputusan tersebut di dalam kamar dengan kehadiran peguam yang mewakili plaintif Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, dan Tommy Thomas yang mewakili dua badan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mac sebagai tarikh pengurusan kes.

Abdul Aziz memberitahu wartawan beliau telah menerima surat daripada Thomas yang menyatakan Majlis Peguam mahu membincangkan isu berkenaan EGM tersebut dalam mesyuarat agung tahunan mereka pada 16 Mac depan.

Pada Jun tahun lalu, mahkamah telah menolak dakwaan terhadap Pengerusi Majlis Peguam, Lim Chee Wee dan setiausahanya, Tony Woon Yeow Thong selepas plaintif memutuskan untuk tidak meneruskan saman terhadap kedua-dua individu berkenaan.

Pada 16 Mei tahun lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan saman dengan menamakan Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam sebagai defendan untuk menuntut satu perisytiharan supaya diputuskan notis bertarikh 4 Mei untuk memanggil EGM itu sebagai tidak sah dan tidak selaras dengan Akta Profesion Guaman 1976.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Khairul Azam yang menganggotai Badan Peguam Malaysia dan juga Majlis Peguam, mendakwa notis memanggil EGM itu dikeluarkan kurang daripada tujuh hari sebelum 11 Mei, selain menyatakan bahawa anggota majlis tersebut tidak dimaklumkan dengan sewajarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain