suria

Lebih Banyak Bayi & Kanak-Kanak Dikesan Jadi Mangsa Sindiket Penjualan

NIBONG TEBAL: Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa lagi bayi dan kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket penjualan bayi di utara tanah air yang dibongkar polis baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata polis sedang mengesan lokasi mereka dijual dan disembunyikan bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak berkenaan.

"Berdasarkan siasatan yang kita jalankan, bukan hanya 10 bayi dan kanak-kanak yang telah diselamatkan baru-baru ini terlibat dengan sindiket berkenaan sebaliknya lebih ramai lagi yang telah dijual oleh sindiket terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ops Selamat Daerah Seberang Perai Selatan, di sini, Isnin.

Abdul Rahim berkata setakat ini tiga individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) masih direman bagi membantu siasatan kes itu manakala empat yang lain dan seorang doktor sebuah klinik swasta dibebaskan dengan ikat jamin. Katanya kertas siasatan kes itu juga telah siap dan pihaknya sedang menunggu arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. Baru-baru ini, polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur antara 23 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember 2012. Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.

Mengenai dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, baru-baru ini, beliau berkata polis masih meneruskan Ops Kesan Gelugor bagi memburu dua lelaki itu yang dipercayai masih berada di negeri ini.

"Polis ada maklumat terkini tentang mereka dan tunggu masa untuk tahan sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata polis berjaya menumpaskan satu kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar SPS selepas menahan dua lelaki pada Sabtu lepas. "Hasil soal siasat dijalankan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di Transkrian, di sini pada pukul 12.30 tengah hari semalam," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya ketiga-tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun itu yang mempunyai rekod jenayah lampau direman sehingga 9 Feb ini bagi siasatan.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah. Selain itu mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah dan samun serta salah seorang daripadanya adalah bekas tahan mengikut Ordinan Darurat," katanya.

Katanya polis sedang mencari tiga lelaki C.M Parthiban, 29, beralamat terakhir di Taman Puteri Gunung di sini, M.Karthegayan, 31, beralamat terakhir di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah dan M Haymarji, 19, beralamat terakhir di Jalan Kompang, Taman Penyu, bagi membantu siasatan kes itu.

Shafien berkata ekoran penahanan tiga lelaki itu, polis berjaya menemui semula semula pemain cakera padat digital dan sebuah amplifier serta menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan bapa kepada seorang daripada suspek kerana menyimpan barang-barang curi.

Beliau berkata polis telah menubuhkan dua pasukan bagi menangani kejadian samun di sekitar daerah ini berikutan lapan kejadian dilaporkan sejak awal tahun ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain