suria

Kematian Claudia Beri Tamparan Hebat Kepada Keluarga

Claudia Theophilus
Claudia Theophilus
Claudia Theophilus

SEREMBAN: Kematian wartawan Claudia Theophilus memberi tamparan hebat kepada keluarganya - ibunya menghidap strok baru-baru ini manakala adiknya terlantar sakit selepas terlibat dalam kemalangan dua tahun lalu.

Ibu bapanya terlalu sedih untuk bercakap dengan pemberita apabila ditemui di kediaman mereka di Taman Bukit Kepayang, dekat sini, Ahad.

Salah seorang saudaranya berkata, Claudia ada menghubungi bapanya, Alfred, pesara kakitangan awam pada malam Jumaat untuk memaklumkan mengenai percutiannya ke Lebanon.

Bapanya melarang Claudia untuk pergi dengan memberitahu tempat itu tidak selamat.

"Namun Claudia memberi jaminan kepada bapanya bahawa tempat yang dilawatinya itu selamat dan dia pergi bersama rakan-rakan," katanya.

Kakak Claudia, Dora berkata keluarga mereka dimaklumkan mengenai berita kematian itu oleh Wisma Putra.

"Saya merancang untuk berlepas ke Lebanon untuk membawa balik mayatnya. Kami berterima kasih kepada rakan-rakan diatas segala ingatan mereka," katanya.

Seorang lagi saudara Claudia menyifatkan mendiang sebagai seorang anak dan kakak yang bertanggungjawab.

"Dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan sentiasa prihatin terhadap adik-beradik yang lain terutama adiknya yang terlantar sakit," katanya.

Wartawan Utusan Malaysia, Nazaruddin Shaari yang tinggal bersebelahan dengan rumah keluarga Theophilus berkata, Claudia seorang yang sentiasa ceria.

"Kali terakhir saya bertemu dengannya apabila dia balik pada cuti Krismas. Dia amat gembira kerana dapat balik dan menjemput saya untuk datang ke rumah," katanya.

Rakan-rakan dan mereka yang pernah bekerja dengan Claudia menyifatkan beliau sebagai wartawan yang berani dan gigih.

Editor Pengurusan The Sun, Chong Cheng Hai menyifatkan Claudia sebagai seorang yang berdedikasi, bijak dan berani.

"Dia seorang yang berdikari. Sentiasa menjadi pejuang kepada orang yang tertindas dan pemimpin kesatuan yang bersuara lantang. Kematiannya amat menyedihkan," katanya.

Wartawan kanan Padmaja Padman berkata Claudia amat menggemari isu yang memberi kesan kepada kehidupan normal dan liputan isu alam sekitar seperti kempen anti- insinerator oleh penduduk Broga merupakan satu contoh ketika dia bersama Malaysiakini.

Dia juga pernah memenangi anugerah atas hasil dokumentarinya mengenai tragedi Highland Towers di Freedom Film Festival, kata Padmaja.

"Claudia turut mengorbankan banyak masa dan aktif dalam aktiviti kebebasan akhbar," katanya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang menyifatkan beliau sebagai kawan lama terkejut dengan insiden yang menimpa Claudia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain