suria

Kastam P.Pinang Gagalkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM227,500

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM)Pulau Pinang mengagalkan cubaan menyeludup 6.5 kilogram dadah jenis ketamin yang dianggarkan bernilai RM227,500 apabila menahan seorang lelaki rakyat India di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Pengarah Kastam negeri Datuk Zulkifli Yahya berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 pagi dipintu masuk lapangan terbang setelah dua bagasi yang dibawanya dikesan mempunyai objek meragukan ketika imbasan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap bagasi itu, anggota Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) menemui serbuk putih yang disorok dalam gebar selesa dan songkok di dalam bagasinya.

"Dia menyimpan dadah berkenaan di ruang khas dalam sehelai comforter (gebar selesa) dan 17 songkok yang dibawanya. Hasil pemeriksaan mendapati serbuk putih itu dipercayai dadah jenis ketamin," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Zulkifli berkata lelaki itu menaiki penerbangan di New Delhi, India dan transit di Bangkok, Thailand sebelum tiba di Pulau Pinang awal pagi Sabtu.

Beliau berkata lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dipercayai pengedar dadah dan baru pertama kali masuk ke Malaysia.

"Lelaki itu kini ditahan reman selama 14 hari. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain