suria

Pukat Tunda & Pukat Buaya Akan Diharamkan -Johari Baharum

ALOR SETAR: Kerajaan akan mengharamkan penggunaan pukat buaya dan pukat tunda dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah kepupusan ikan yang semakin serius sejak akhir-akhir ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.

"Sekarang kita tunggu masa yang sesuai saja. Kita akan bagi notis kepada mereka (nelayan) dan akan kuatkuasakan bila-bila masa sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lesen sampan untuk nelayan di utara Kedah di sini, Ahad.

Beliau berkata Jabatan Perikanan akan mengadakan syarat jenis pukat yang boleh digunakan oleh nelayan.

"Kita tidak akan menggunakan lagi pukat yang boleh mengancam pertumbuhan ikan. Di Thailand dan Indonesia sudah diharamkan penggunaan pukat tersebut," katanya.

Mohd Johari berkata penggunaan pukat tunda sejak 2000 hingga 2005, menyebabkan 81 spesis ikan di Kedah telah pupus termasuk terubuk dan sela.

Beliau berkata di Malaysia, 150 spesis ikan telah pupus akibat pencerobohan nelayan pukat tersebut.

Beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia perlu menghalang pencerobohan nelayan yang menggunakan pukat-pukat tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain