suria

BN Sudah Sedia Hadapi PRU-13

Bendera BN sudah mula dikibarkan di beberapa rumah di sekitar Petaling Jaya.
Bendera BN sudah mula dikibarkan di beberapa rumah di sekitar Petaling Jaya.
Bendera BN sudah mula dikibarkan di beberapa rumah di sekitar Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Dengan kira-kira 7,531 bilik gerakan operasi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) ditubuhkan di 222 kawasan Parlimen, bahang kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah mula dirasakan walaupun tarikah sebenar pilihan raya belum diumumkan.

Di Selangor, terdapat 894 PDM dibuka untuk mengenal pasti kawasan putih, kelabu dan hitam bagi membantu BN dalam kempen pilihan raya.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, parti komponen BN sudah bersedia menghadapi PRU-13 dan ingin merampas kembali negeri jajahan Pakatan Rakyat itu.

"Jentera pilihan raya BN sudah bersedia dan kami menggunakan pendekatan berintergasi melibatkan kesemua parti komponen dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baik dengan kita," katanya.

Beliau berkata, bilik gerakan operasi akan menggunakan daftar pemilih untuk membantu mereka mengenal pasti pengundi di kawasan "putih, kelabu dan hitam'.

"Mereka juga akan mengenal pasti sama ada pengundi masih tinggal di dalam atau keluar dari kawasan mengundi dan mendekati mereka," katanya.

Beliau menegaskan kepentingan mendekati pengundi dengan bersarapan atau minum teh bersama rakyat dengan kunjungan rumah ke rumah dalam pertemuan sosial.

"Kita juga akan menampal poster dan sepanduk untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat mengenai pembukaan bilik operasi gerakan ini," katanya.

Penubuhan bilik gerakan operasi itu diumumkan pada Jumaat oleh Ketua Penerangan dan Publisiti BN, Datuk Ahmad Maslan yang memberitahu bilik tersebut kebiasaannya akan dibuka selepas Parlimen dibubarkan.

Namun, beliau berkata pilihan raya akan datang akan menjadi pilihan raya luar biasa.

Setiap bilik operasi akan menempatkan 180 ahli dan lima pegawai untuk mengumpul data, membuat carta pilihan raya dan meneliti daftar pemilih.

Di KUANTAN, Pahang Timbalan Pengerusi MCA Datuk Hoh Khai Mun berkata, jentera parti itu sentiasa berada dalam 'mode combat' sejak tahun lalu.

"Sebaik saja Parlimen dibubarkan, ahli-ahli parti akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Senarai calon kami telah dihantar pada tahun lalu dan segalanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi untuk memutuskan siapa yang akan bertanding," katanya.

Pengerusi MIC negeri Pahang, Datuk M. Davendran berkata jentera parti itu sudah sempurna dan akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan Parlimen Cameron Highland dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai.

"Tidak mudah bagi Pakatan Rakyat kerana kita sudah sedia sepenuhnya," katanya.

Di KOTA BARU, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, kira-kira separuh daripada 541 bilik operasi gerakan telah diaktifkan dan selebihnya akan beroperasi dalam beberapa hari lagi.

"Jentera pilihan raya negeri telah bersedia sejak pertengahan bulan lalu dan saya amat berpuas hati dengan segala persiapan yang telah dilakukan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain