suria

Belia Perlu Sahut Seruan PM, Gerakkan Aktiviti Kesukarelawan - Rais

JELEBU: Golongan belia diseru menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menerusi program 'My Beautiful Malaysia', dengan menggerakkan usaha kesukarelawan membantu masyarakat tempatan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan mengenalpasti permasalahan masyarakat dan mengadakan program-program sosial seperti gotong-royong bagi menyelesaikannya.

"Setiap dari kita, cari dua tiga orang untuk kita bantu menerusi program sosial. Cari dua atau tiga orang untuk kita jatuhkan budi kita. Mari kita mendaftarkan ini sebagai satu jenama baru dalam perjuangan baru kita," katanya semasa berucap merasmikan majlis penutup Jelajah Gelombang Biru Pemuda Barisan Nasional Parlimen Jelebu, di Kolej Komuniti Jelebu, di sini, Ahad.

Katanya, langkah itu juga bagi memastikan golongan belia dapat meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas program itu, Rais berkata bagi parlimen Jelebu, Umno peringkat bahagian akan menggerakkan sayap pemudanya bagi menterjemahkan seruan Perdana Menteri itu.

Katanya, ia adalah simbolik perjuangan bagi memberi sokongan dan dokongan terhadap program transformasi yang dibawa Datuk Seri Najib dalam menawarkan khidmat kebajikan kepada masyarakat.

"Pemuda Umno Jelebu akan merangka program bagi mewujudkan suasana berjuang ala suara majoriti di kawasan Jelebu ini dan saya berasa ini merupakan usaha positif dan ia akan memberi kesan yang menyeluruh kepada masyarakat sekitar," katanya.

Anggota Parlimen Jelebu itu berkata, aktiviti kesukarelawan amat penting bagi menggalak perubahan nilai dalam diri individu kepada perasaan prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Selain itu beliau berkata, kementeriannya juga akan merangka program-program bersesuaian dengan program 'My Beautiful Malaysia' dan akan mengulangi semula program-program terdahulu seperti 'Budi Bahasa Budaya Kita'. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain