suria

PM Selar Pihak Guna Isu Sensitif Demi Politik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar tindakan segelintir pihak yang membangkitkan isu sensitif demi meraih keuntungan politik jangka pendek menjelang pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata sikap tidak bertanggungjawab itu adalah sikap yang tidak baik dan boleh menjejaskan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Saya lihat ada sikap degil, sikap yang tegar, sikap yang mahu meraih keuntungan politik jangka pendek dan membangkitkan isu-isu oleh beberapa orang politik semata-mata nak meraih keuntungan menjelang pilihan raya.

"Inilah sikap yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh mereka semata-mata nak memancing undi sahaja," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini, Sabtu.

Sementara itu, beliau meminta rakyat di negara ini sentiasa mengamalkan sikap saling hormat menghormati dan menjaga hati tanpa menyentuh sebarang sensisitiviti kaum.

"Dalam konsep hormat-menghormati ini juga kita mesti menjaga hati, menjaga sensitiviti antara satu sama lain supaya tidak menyakiti hati sesiapa di atas sebutan, perbuatan dan tindakan kita.

"Kalau kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain, maka saya percaya kita boleh hidup aman dan damai," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan dana tambahan RM5 juta kepada Skim Keselamatan 1Wilayah Persekutuan untuk membolehkan usaha mengurangkan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Skim itu dilancarkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan dana permulaan RM2 juta melalui sumbangan sektor swasta dan diuruskan Yayasan Kesejahteraan Bandar.

"Inilah komitmen kita. Keselamatan adalah salah satu daripada isu kepada wargakota raya selain daripada inisiatif-inisiatif yang telah dibuat kerajaan," kata Najib.

Sementara itu, Najib menyambut baik usaha kementerian untuk membawa sambutan Hari Wilayah di kawasan parlimen secara bergilir-gilir dan berkata dengan cara ini, sambutan Hari Wilayah akan dibawa lebih dekat kepada warga wilayah persekutuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain