suria

Pegawai Jabatan Hutan Daerah Hulu Perak Didakwa Terima Rasuah RM390,000

IPOH: Seorang pegawai Jabatan Hutan Daerah Hulu Perak pada Jumaat didakwa di dua Mahkamah Seksyen di sini atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM390,000 daripada dua kontraktor balak antara April 2010 dan Januari 2012.

Bagaimanapun tertuduh Amir Sharifud-din Aliman, 59, dari Jalan Adika Raja, Gerik, Perak, yang berpakaian gaya persis seorang penyanyi rock, hanya menjawab 'saya tidak faham' dan 'saya tidak ingat' selepas setiap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Dalam pendakwaan di hadapan Hakim Madihah Harullah, tertuduh, yang berpakaian seluar denim, baju-T berwarna biru dan jaket hitam serta mengenakan bandana di kepala, didakwa atas 12 pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM290,000 daripada Tan Chee Hee.

Amir Sharifud-din didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di bilik pejabat Jabatan Hutan Daerah Hulu Perak, Gerik pada pukul 8 pagi hingga 5 petang, antara 9 April 2010 dan 21 Oktober 2011.

Dia didakwa menerima wang tunai dengan tiada balasan sedangkan mengetahui pemberi mempunyai hubungan dengan kerja rasmi yang dijalankan oleh tertuduh.

Selepas kesemua 12 pertuduhan selesai dibacakan, peguam bela Saw Hoe Teck, yang mewakili tertuduh, memaklumkan laporan pakar psikiatri Hospital Fatimah Ipoh mengesahkan anak guamnya mengalami sejenis penyakit jiwa iaitu 'Kecelaruan Afektif Dwikutub'.

Hakim Madihah kemudian membenarkan permohonan Saw untuk merujuk tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk pemeriksaan dan pemantauan mental oleh pakar psikiatri, sama seperti arahan Hakim Julie Lack Abdullah sebelum itu.

Sebelum sesi pendakwaan bermula di dalam dewan mahkamah itu, tertuduh turut melontarkan kata-kata "buat laporan (berita) baik-baik, kalau tidak aku berdoa akan dilaknat Allah, tujuh keturunan dapat anak cacat" kepada sekumpulan wartawan sedang memasuki dewan berkenaan.

Terdahulu, Amir Sharifud-din turut didakwa di Mahkamah Sesyen kendalian Julie atas satu pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Ismail Abdul Manas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kafe Bawang Merah, No. 8281, Jalan Suda Bahagia, Gerik, pada pukul 9 malam, 3 Januari 2012.

Tertuduh menjawab "saya tidak faham, saya ada masalah mental, saya tidak ingat" sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dan peguamnya memaklumkan kepada mahkamah anak guamannya masih menjalani rawatan perubatan selepas disahkan menghidapi penyakit itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Bagi kesemua pertuduhan, Amir Sharifud-din didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) A.Hafiizh Abu Bakar dan Pegawai Pendakwa SPRM M. Kathan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain