suria

Umum Hasil Siasatan Kematian Gajah Pigmi - LEAP

SANDAKAN: Badan bukan kerajaan Land Empowerment Animals People (LEAP) menggesa siasatan kematian sekurang-kurangnya 14 ekor gajah pigmi di hutan simpan Sabah disiasat secara menyeluruh.

"Rakan global kami juga terkejut dan mahu tahu hasil siasatan. Walaupun laporan media menyebut gajah terbabit mati akibat diracun, kita hanya akan tahu punca sebenar selepas hasil bedah siasat keluar.

"Pada masa sama saya berharap semua pihak bertenang dan tidak membuat spekulasi serta saling menyokong sementara menunggu siasatan selesai dan saya percaya hasil siasatan akan dikongsi dengan seluruh komuniti," kata Pengarah Eksekutif LEAP Cynthia Ong dalam kenyataan di sini, Jumaat.

LEAP katanya menyambut baik janji Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang mahu memastikan kejadian itu disiasat secara terperinci dan pihak bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Ong berkata LEAP juga menyokong sepenuhnya kenaikan taraf gajah pigmi kepada Bahagian 1 Jadual 1 di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah yang memperuntukkan haiwan itu status Perlindungan Penuh.

"Hukuman lebih keras beserta peningkatan penguatkuasaan dan pendakwaan pihak bersalah akan menjadi langkah pencegahan yang berkesan bagi memastikan kejadian tragik ini tidak berulang," katanya.

Ong turut menyambut baik kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun bahawa kerajaan negeri akan melihat semula usaha pemuliharaannya serta memperkukuhkan Pelan Tindakan Gajah bagi memastikan tragedi itu tidak berulang.

Ong menegaskan kerajaan negeri juga harus berusaha mengenal pasti dan memperoleh tanah swasta untuk tujuan pemuliharaan hidupan liar.

Seorang anggota Lembaga Pengarah LEAP, Prof Dan Kammen dari University of Berkeley, California turut meluahkan rasa sedih atas kejadian itu.

"Kejadian itu yang berlaku di Sabah yang merupakan pemimpin dalam usaha mengintegrasi pemuliharaan, pengawasan dan pembangunan lestari, menunjukkan pengawasan berterusan amat penting dalam melindungi dan mempertahankan masa depan kita bersama," katanya dalam kenyataan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain