suria

Status Autonomi Bolehkan UIA Capai 35% Pelajar Asing Pada 2015

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yakin status autonomi yang diterimanya akan menjadi pemangkin kepada usaha universiti mencapai 30 peratus pelajar asing menjelang 2015.

Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata buat masa ini hanya 25 peratus daripada 28,000 pelajarnya adalah warga asing.

"Status autonomi itu memberi kami kebebasan dalam menentukan pengambilan pelajar dan kami merancang untuk mengambil ramai pelajar asing tanpa menjejaskan kualiti pendidikan dan juga peluang pelajar tempatan belajar di sini.

"Kapasiti kami ialah 30,000 pelajar di lima kampus," katanya pada sidang media selepas upacara 'Bai'ah' bagi 2,107 pelajar baharu termasuk 286 warga asing di kampus induk UIAM, Gombak dekat sini, Jumaat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa mengumumkkan UIAM dan Universiti Utara Malaysia adalah dua universiti awam terkini menerima status autonomi.

Mengulas lanjut, Zaleha berkata status autonomi itu akan memperkukuhkan nama universiti di persada antarabangsa sekali gus dapat menarik minat pakar asing untuk menjadi pensyarah serta penyelidik di UIAM.

"Sekarang kami ada 2,000 pensyarah dan 23 peratus adalah warga asing. Menjelang 2015, kami berharap dapat memiliki 30 pensyarah luar dan kami percaya UIAM mampu mencapainya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Dr Mizan Hitam berkata universiti berkenaan tidak mempunyai halangan bagi pelajarnya berpolitik dan percaya pelajarnya mempunyai kematangan untuk berpolitik secara sihat tanpa memudaratkan diri sendiri serta orang lain.

"Universiti ini mempunyai dasar buka pintu kepada pelajar untuk mereka terlibat dalam apa-apa aktiviti asalkan ia sihat untuk perkembangan minda serta salsiah diri mereka selain mematuhi batas undang-undang sedia ada.

"Seperti pindaan AUKU (Akta Universiti Kolej) kita benarkan mereka berpolitik di luar kampus namun tidak sekali-kali membawa politik kepartian dalam kampus. Pelajar kita cukup matang untuk mematuhi akta ini dan kita percaya ia akan berterusan pada PRU (pilihan raya umum) akan datang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain