suria

Pemuda PAS Akan Beri Tumpuan Di Setiap Negeri

PETALING JAYA: Pemuda PAS akan memberi tumpuan kepada setiap negeri yang bertanding tanpa memfokuskan kepada sesebuah negeri.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi berkata bagaimanapun senarai penuh calon pemuda yang bakal bertanding dan kawasan masih belum muktamad.

“Kita belum tahu siapa yang akan diletakkan di mana-mana negeri dan itu semua kami serahkan kepada parti untuk buat keputusan.

“Bagi pemuda kita akan beri tumpuan secara keseluruhan iaitu di setiap negeri yang kita bertanding, tidak ada fokus pada mana-mana kawasan,” katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambahnya, seramai 40 peratus senarai calon pemimpin PAS yang bakal bertanding di Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) terdiri daripada golongan muda.

“Kita sudah terima senarai calon pemuda tapi ia masih lagi belum muktamad dan masih lagi dalam peringkat perbincangan terakhir.

“Apa yang pasti ialah 40 peratus daripada calon PAS yang akan bertanding dalam PRU-13 ini adalah terdiri daripada golongan muda,”

Jelas beliau, setakat ini persiapan menghadapi pilihan raya sudah dibuat sepenuhnya dan menjangkakan PRU-13 akan berlangsung dalam tempoh dua bulan ini.

“Kita sudah sampai ke persiapan peringkat akhir dan secara habis-habisan, kita juga menjangkakan PRU-13 sudah semakin hampir,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain