suria

Identiti Rakyat Malaysia Korban Banjir Di Australia Belum Disahkan - Anifah

KUALA LUMPUR: Identiti seorang lelaki yang dipercayai rakyat Malaysia yang terkorban dalam bencana banjir dahsyat yang melanda Queensland, Australia sejak Ahad lepas masih belum disahkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah dalam satu kenyataan di sini, berkata bagaimanapun kementerian telah memaklumkan berita tersebut kepada waris Fan Swee Leong, seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Australia, yang dilaporkan sebagai mangsa kejadian itu.

Beliau berkata kementerian telah menerima maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra mengenai kemungkinan seorang rakyat Malaysia terkorban dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam kenderaan yang didaftarkan atas nama Fan pada Rabu, selepas air banjir mula surut.

"Ini telah membawa pihak polis ke kediaman Fan Swee Leong di mana mereka menemui pasport Malaysia dengan nama pemegangnya ialah Fan Wee Leong.

"Namun begitu, proses selanjutnya perlu dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa," katanya dan menambah pihak Suruhanjaya Tinggi akan menghulurkan bantuan kepada keluarga Fan untuk tindakan selanjutnya.

Laporan media pada Khamis menyebut pekerja ladang, Andrew Leong, 34, dari Subang Jaya, Selangor dan Pan Yukun, 25, dari Taiwan maut selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai yang melimpah di Lockyer Valley, awal pagi Ahad.

Anifah berkata kementerian melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra akan terus memantau situasi banjir di Queensland terutama berhubung keselamatan rakyat Malaysia dan pelajar-pelajar negara ini yang berada di kawasan yang terjejas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain