suria

Tiga Pelancong Nyaris Hilang Ketika 'Jungle Trekking'

LUMUT: Tiga pelancong warga asing nyaris hilang selepas gagal mencari jalan keluar ketika melakukan 'jungle trekking' di hutan simpan Teluk Dalam, Pulau Pangkor dekat sini, Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Mohd Nadzir Abdul Razak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2 petang sebelum menghantar lima anggota ke tempat kejadian.

"Menurut laporan yang diterima, tiga warga asing itu terdiri daripada dua warga Perancis yang dikenali Saladin Lorene, 24, dan Edmond Jonathan, 26, manakala seorang lagi warga Austria dikenali Hervet Skcenkr datang untuk melancong di pulau ini.

"Mereka telah melakukan 'jungle trekking' di kawasan hutan simpan Teluk Dalam pada 10 pagi tadi sebelum dilaporkan sesat kerana gagal mencari jalan keluar," katanya.

Beliau berkata operasi mencari mangsa dijalankan selama sejam 15 minit sebelum berjaya mengesan mereka tidak jauh dari tempat pelancong itu dilaporkan hilang.

"Mereka bertiga ditemui dalam keadaan selamat walaupun agak keletihan kerana telah berjalan terlalu lama.

"Kawasan hutan simpan ini memang sering dikunjungi pelancong terutama pelancong asing yang mahu menikmati keindahan alam semulajadi dan sudah beberapa kejadian sesat telah dilaporkan berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nadzir menasihatkan orang ramai yang ingin memasuki hutan untuk sebarang aktiviti supaya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa, termasuk pihak resort atau chalet tempat mereka menginap. BERNAMA

Artikel Lain