suria

Sindiket Penipuan 'Love Scam' Di Melaka Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan Internet atau 'Love Scam' apabila menyerbu tiga unit pangsapuri di Bukit Beruang, Melaka dan menahan tujuh lelaki warga Afrika dan dua rakyat Filipina.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata siasatan awal mendapati beberapa lelaki tersebut merupakan pelajar di kolej swasta di sini manakala ada di kalangan mereka termasuk seorang wanita tinggal lebih tempoh di Malaysia.

Kesemua suspek berusia antara 25 dan 37 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung serbuan pada pukul 12.30 pagi itu.

Polis menemui petunjuk mengenai sindiket itu apabila seorang wanita dari Hong Kong diperdaya sebanyak RM200,000 oleh seorang ahli sindiket tersebut yang dipercayai mahu mengahwininya.

Mereka bertemu menerusi sebuah laman web janji temu pada Januari 2012.

Syed Ismail berkata, lelaki tersebut berjanji untuk pergi ke Hong Kong dan berkahwin dengan pekerja sosial berusia 37 tahun itu.

Wanita tersebut yang mempercayai kata-kata dan janji manis itu bertindak memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank tempatan pada Jun 2012.

"Dia memasukkan wang dalam enam transaksi dan transaksi terakhir dibuat bulan lalu," katanya pada sidang media di sini.

Bagaimanapun, selepas transaksi terakhir dibuat, teman lelaki wanita itu gagal dihubungi dan memaksanya membuat laporan polis secara online.

Dia berkata, wanita itu berlepas ke Malaysia sebelum bertemu pegawai penyiasat di ibu pejabat Jenayah Komersial di Bukit Perdana di sini, pagi Selasa.

"Dengan segala bukti dan dokumen sokongan disediakan oleh mangsa, kami berjaya mengesan lokasi sindiket itu beroperasi," katanya.

Syed Ismail menasihatkan rakyat di negara ini supaya tidak membantu individu tidak dikenali untuk membuka akaun bank menggunakan butiran peribadi mereka yang mungkin akan disalah gunakan untuk kegiatan jenayah.

"Apabila kami menyoal beberapa pemegang akaun, mereka mendakwa tidak menyedari aktiviti seperti itu dan hanya membantu rakyat asing memandangkan mereka mempunyai kesukaran untuk membuka akaun di negara ini," katanya.

Siasatan turut mendapati ahli sindiket itu akan membayar antara RM200 dan RM500 kepada pemegang akaun untuk membuka akaun bank di sini.

Artikel Lain