suria

RapidKL Lanjut Operasi LRT, Bas Sempena Pesta Ponggal Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: RapidKL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan LRT dan basnya antara 12.30 pagi dan 1 pagi sempena sambutan Pesta Ponggal peringkat kebangsaan di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataannya di sini pada Khamis berkata stesen utama yang terlibat dalam lanjutan operasi itu ialah Stesen Masjid Jamek dan Bandar raya untuk laluan Ampang, Stesen Masjid Jamek untuk laluan Kelana Jaya dan stesen monorel Hang Tuah.

Untuk perkhidmatan bas pula, 10 laluan termasuk enam perkhidmatan dari hab Pasar Seni akan melanjutkan operasi dengan bas terakhir hingga 1 pagi.

Enam perkhidmatan bas dari hab Pasar Seni yang terlibat dalam lanjutan operasi itu ialah laluan U66 ke Taman Medan, U68 ke Sri Manja/Sentosa, U70 ke Puchong Prima, U74 ke Pantai Hill Park, U88 ke Kota Damansara dan U224 ke Taman Dato' Senu, Sentul.

Sementara itu, empat lagi laluan bas RapidKL yang akan terlibat ialah laluan U6 dari Medan Pasar ke Taman Jasa Utama, U22 dari Jalan Hang Lekiu ke Sri Nilam, U23 dari Lebuh Ampang ke Taman Melawati, dan U40 dari Sinar Kota ke Terminal Kajang.

Kira-kira 100,000 orang dijangka memeriahkan sambutan Pesta Ponggal yang julung kali diadakan itu.

Bertemakan 'Bersatu Maju Berjaya', ia bertujuan menyemai semangat perpaduan, persaudaraan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat India. BERNAMA

Artikel Lain