suria

P.Pinang Akan Bubar Dewan Sama Dengan Persekutuan - LGE

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa mereka akan membubarkan Dewan Undangan Negeri sama dengan Dewan Rakyat, demikian kata Ketua Menterinya, Lim Guan Eng pada Khamis.

Menurut Guan Eng, keputusan itu diambil kerana sama ada Dewan Undangan Negeri dibubarkan awal, lewat atau sama dengan persekutuan pada waktu ini tidak memberi apa-apa perbezaan.

“Saya berkata demikian kerana pada akhirnya Suruhanjaya Pilihan Raya yang berkuasa menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam tempoh 60 hari daripada tempoh pembubaran.

“Jadi jika SPR hendak menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian sama dengan tarikh pilihan raya persekutuan, mereka berkuasa menentukan demikian," ujarnya kepada para pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya reaksinya mengenai keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk membubarkan dewan undangan negeri itu selepas perayaan Chap Goh Meih.

Menurut Guan Eng, Khalid tidak menghubunginya untuk berbincang mengenai perkara tersebut tetapi pada masa yang sama berpendapat ia tidak lagi relevan pada masa sekarang.

Beliau berpendapat, parlimen akan dibubarkan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada 28 Feb ini.

Artikel Lain