suria

Polis Kinabatangan Terima Laporan Mengenai Kematian Gajah Pygmy

KINABATANGAN: Polis Kinabatangan mengesahkan menerima laporan daripada Jabatan Hidupan Liar berhubung kematian 13 ekor gajah Pygmy Borneo beberapa minggu lalu di Hutan Simpan Gunung Rara, Ulu Kuamut, Kinabatangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan DSP Martin Lugu berkata pihaknya menerima laporan polis itu pada 25 Januari dan telah membuka kertas siasatan mengenai kejadian itu.

"Kami akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan (Khianat Terhadap Binatang). Siasatan dijalankan berdasarkan bidang kuasa polis termasuk meneliti sama ada berlaku unsur jenayah atau khianat," katanya.

Berdasarkan laporan itu, pada 24 Jan, kira-kira jam 3.30 petang bertempat di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara, lima ekor bangkai gajah iaitu satu jantan dan empat betina ditemui kira-kira lima kilometer daripada pintu pagar sebuah syarikat pembalakan iaitu Ampayar Kejora.

Pemeriksaan terhadap semua bangkai gajah berkenaan mendapati tidak ada kesan kecederaan pada bangkai itu dan pada hari berikutnya iaitu pada 25 Jan satu lagi bangkai gajah ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari pintu masuk syarikat pembalakan berkenaan dengan seekor anak gajah yang masih sihat berada dekat bangkai itu.

Pada 26 Januari seekor lagi bangkai gajah ditemui kira-kira 14 kilometer dari pintu masuk syarikat pembalakan berkenaan dan tiga hari kemudian iaitu pada 29 Januari tiga lagi bangkai gajah ditemui tetapi lokasi bangkai itu ditemui belum dikenal pasti.

Martin berkata unit Forensik dengan bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai polis dari Tawau akan ke kawasan kejadian itu pada Khamis untuk menjalankan siasatan.

Sehingga berita ini ditulis, sebanyak 13 ekor bangkai gajah ditemui. - BERNAMA

Artikel Lain