suria

PM Lancar Program BL1M Untuk Golongan Belia

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis melancarkan Program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) khusus untuk membantu memudahkan golongan belia mendapat lesen motosikal dengan kadar lebih murah.

Perdana Menteri berkata dengan bantuan berkenaan, semua golongan belia boleh memiliki lesen motosikal pada kadar harga terendah iaitu RM199 berbanding harga biasa yang lebih RM350.

"Ramai anak muda ada motosikal sebab ibu bapa belikan tapi tiada lesen. Dengan skim ini semua boleh ada lesen," katanya ketika merasmikan program bantuan berkenaan pada Himpunan Anak Muda Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini Khamis.

Program BL1M adalah kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Barisan Nasional (BN) yang mensasarkan untuk membantu 500,000 pemohon di kalangan orang muda memiliki lesen pemanduan yanag sah.

Selain harga lebih rendah, program itu turut menawarkan beberapa keistimewaan lain antaranya ujian berkomputer akan ditanggung sepenuhnya (percuma) jika peserta gagal dan terpaksa mendudukinya semula.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata BL1M terbuka kepada warganegara berusia 17 hingga 40 tahun dan yuran dikenakan meliputi permohonan lesen, gambar, kelas latihan amali, ujian teori undang-undang berkomputer dan praktikal di institut memandu.

Orang awam yang berminat boleh mendaftar nama untuk menikmati insentif program itu melalui laman sesawang www.bl1m.my. - BERNAMA

Artikel Lain