suria

Perlis Turunkan Kadar Kompaun Parkir Kenderaan

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis memutuskan kadar kompaun Majlis Perbandaran Kangar (MPK) terhadap pemilik kenderaan, yang melakukan kesalahan di parkir dalam kawasan operasi MPK, diturunkan bagi meringankan beban rakyat, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat gotong-royong 1Malaysia bagi membersih kawasan tapak perniagaan Jalan Jubli Perak di sini pada Khamis, beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Rabu.

MPK memperkenal sistem caj parkir kenderaan berkupon mulai 1 Dis 2012 bagi menggantikan sistem parkir bermeter sebelum ini dengan mengenakan kadar lama iaitu 30 sen bagi setiap setengah jam, atau 60 sen bagi setiap sejam.

Pengguna yang gagal mempamer kupon parkir atau tidak meletak nilai kupon parkir yang mencukupi semasa meletak kenderaan masing-masing, akan dikenakan kompaun dan ia perlu dibayar segera untuk mengelak daripada terpaksa membuat pembayaran lebih.

Ketetapan MPK ialah kompaun RM50, jika dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan, RM100 jika dibayar dalam tempoh antara 14 hari hingga 28 hari dari tarikh notis dikeluarkan, dan RM150 jika dibayar selepas tempoh 28 hari dan sebelum tindakan undang-undang diambil.

Md Isa berkata memandang ketetapan itu agak membebankan rakyat, mesyuarat Exco memutuskan agar MPK membatalkan kutipan di kawasan yang sebelum ini tidak dikenakan caj parkir.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri memutuskan agar MPK menurunkan kadar kompaun terhadap pengguna yang gagal mempamer kupon parkir atau tidak meletak nilai kupon parkir yang mencukupi semasa meletak kenderaan mereka.

Ini adalah bagi kompaun yang dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan iaitu kadar diturunkan daripada RM50 kepada hanya RM10, bagi kompaun yang dibayar dalam tempoh antara 14 hari hingga 28 hari dari tarikh notis dikeluarkan kadar kompaun diturunkan daripada RM100 kepada RM15, dan bagi kompaun yang dibayar selepas tempoh 28 hari dan sebelum tindakan undang-undang diambil, kadar kompaun diturunkan daripada RM150 kepada hanya RM20.

Md Isa berkata keputuan itu dibuat selepas Exco kerajaan negeri mengambil kira aspek kebajikan rakyat secara keseluruhan dan tujuan kompaun itu, yang bukan untuk mengutip keuntungan tetapi lebih kepada mendidik rakyat agar mematuhi undang-undang serta peraturan berkaitan sietem parkir di negeri ini. BERNAMA

Artikel Lain