suria

Pekerja Asing Tidak Perlu Bangkitkan Isu Bayaran Levi - Dr Subramaniam

BANGI: Isu pekerja asing tidak mampu membayar levi tidak patut timbul memandangkan pendapatan mereka akan meningkat selaras dengan pelaksanaan dasar gaji minimum.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Khamis berkata, pekerja asing masih boleh memperoleh antara RM300 hingga RM400 setiap bulan walaupun pemotongan untuk bayaran levi setiap bulan.

"Dengan peningkatan pendapatan yang diperoleh menerusi kerja lebih masa dan faedah lain, kita percaya pekerja asing tidak mempunyai masalah untuk membayar levi," katanya.

Beliau berkata, peraturan baru itu turut membolehkan majikan melakukan penjimatan antara RM100 hingga RM150 bagi setiap pekerja pada setiap bulan.

Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan bahawa bayaran levi pekerja asing perlu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja itu sendiri dan bukan lagi majikan, berkuat kuasa serta merta.

Dasar levi tahun 1992 itu dikuatkuasakan semula kepada pekerja asing baharu atau mereka yang ingin memperbaharui pas kerja, penggajian atau lawatan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu bertujuan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing yang ditanggung majikan.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, kementeriannya akan meneliti permintaan sekumpulan majikan berhubung kos penginapan dan pengangkutan diserahkan kepada pekerja asing.

"Kita belum membuat sebarang keputusan. Kita masih lagi mengkaji kemungkinan itu," katanya selepas merasmikan Persidangan Kepimpinan Pelajar Unisamrat untuk pelajar India di sini.

Artikel Lain