suria

Masa Sudah Tiba BN Diberi Peluang Tadbir Kelantan - TPM

KOTA BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah tiba masanya rakyat Kelantan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri ini bagi membolehkan pelbagai perubahan dilakukan di Kelantan.

Beliau berkata kerajaan BN mempunyai kemampuan untuk membuat perubahan bagi mengeluarkan mereka daripada keadaan 'murung' akibat kegagalan PAS menyelesaikan pelbagai masalah rakyat walaupun sudah 22 tahun diberi peluang memerintah negeri ini.

"Kalau nak keluar dari keadaan murung sebegini lama, saya fikir adalah lebih baik beri peluang kepada Barisan Nasional (pada pilihan raya umum ke-13). Kalau selepas lima tahun, dia kata BN tidak bagus, tukar balik, yang berkuasa ialah rakyat Kelantan tetapi beri kami peluang.

"Beri peluang kepada Perdana Menteri yang minta mandat baharu ini, dan kita tengok caranya, ada bezanya tak dalam tempoh lima tahun, kalau tidak ada beza juga itu hak rakyat Kelantan untuk buang kami...tetapi kami nak buktikan kami boleh buat, kami nak bantu rakyat, kena percaya kepada kami," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional Negeri Kelantan di sini, Khamis.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, kemudian mengadakan perjumpaan khas tertutup bersama pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) di tempat yang sama.

Beliau berkata ini adalah tawaran daripada BN untuk menolong rakyat Kelantan selepas kerajaan negeri pimpinan PAS gagal menyelesaikan banyak masalah seperti bekalan air bersih, tanah digadai dan janji-janji yang tidak ditepati.

Katanya Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan kesediaan untuk membantu rakyat Kelantan termasuk melalui tujuh projek besar yang diumumkan baru-baru ini untuk dilaksanakan yang akan memberi banyak faedah kepada rakyat.

"Perdana Menteri nak lakukan perubahan kerana kami yakin kami mampu buat, kami janji akan kami tunaikan, ini bukan main-main, apabila perdana menteri sebut tujuh projek itu, itu bukan main-main, semua rakyat Kelantan sudah tahu kalau tidak tunai, makna itu satu perkara yang amat memalukan tetapi tidak akan berlaku (janji BN tidak ditunai), kita nak mandat diberikan kepada kita. Rayuan kita ialah untuk menolong rakyat Kelantan," katanya.

Tujuh projek itu merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.

Projek lain ialah mewujudkan sistem pengangkutan bas Rapid Kota Baharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah bekalan air bersih.

Muhyiddin melihat kesedaran baharu dalam kalangan rakyat Kelantan yang inginkan perubahan kerana mereka berasa begitu lama di bawah pentadbiran PAS yang tidak banyak perubahan dan kemajuan dilakukan.

"Ramai yang menyenaraikan perkara-perkara yang tidak dapat diselesaikan oleh PAS, mereka lebih bersemangat daripada saya hingga ada yang meminta saya keluarkan fatwa mewajibkan mengundi Umno, saya bukan tok guru untuk mengeluarkan fatwa, tetapi maknanya minat mereka begitu kuat.

"Mereka kata sudah sampai masanya rakyat Kelantan di mana sahaja mesti diberikan kesedaran bahawa inilah masanya untuk lakukan perubahan. Cukuplah apa yang berlaku selama 22 tahun, kini masa untuk berubah sudah sampai," katanya sambil merujuk kepada perjumpaan khas beliau bersama pemimpin masyarakat dan NGO itu.

Muhyiddin turut membidas PAS yang banyak memperkecilkan cara pemikiran rakyat negeri ini seolah-olah mereka tidak boleh berfikir seperti mendakwa kononnya terdapat sumber minyak di daratan negeri ini, semata-mata supaya rakyat mempercayai dan terus memberi sokongan kepada mereka.

Mengenai calon BN Kelantan pada PRU Ke-13, beliau berkata senarai calon diputuskan oleh perdana menteri dan akan diumumkan apabila tiba masanya.

"Setiap kawasan sudah disenaraikan, saya dan perdana menteri telah teliti, proses penilaian sudah dibuat, bila tiba masanya, itulah calon yang terbaik yang dipilih," katanya.

Ditanya adakah BN akan mengumumkan nama calon lebih awal, Muhyiddin berkata perdana menteri akan ambil masa yang sesuai untuk umumkan nama calon-calon berkenaan.

Turut mengiringi lawatan Muhyiddin itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin. BERNAMA

Artikel Lain