suria

Kabinet Lulus Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025

PETALING JAYA: Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 telah diterima dan diluluskan oleh Kabinet pada Rabu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata laporan tersebut seterusnya akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat.

Beliau mengumumkan demikian pada majlis jamuam malam sempena ulang tahun ke-21 dan kempen rayuan derma tabung pembinaan bangunan Huazong, di sini.

Turut hadir presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah, Duta Besar China ke Malaysia Datuk Chai Xi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan pengasas Sunway Group yang juga wakil penaung bangunan Huazong Tan Sri Dr Jeffrey Chuah.

Pada September tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan meminggirkan sekolah aliran Cina adalah tidak benar sama sekali.

"Komitmen kerajaan adalah untuk memastikan mutu pendidikan di semua sekolah dapat ditingkatkan termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

"Oleh sebab itu, Perdana Menteri dalam Belanjawan 2012 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta khusus membiayai pembangunan dan penyelenggaraan sekolah jenis kebangsaan Cina dan ianya diteruskan dalam Belanjawan 2013," katanya. BERNAMA

Artikel Lain