suria

JPN Nafi Keluar Arahan Pemulangan MyKad Dan MyKid

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak pernah mengeluarkan surat arahan kepada mana-mana pegawai, petugas atau pejabat cawangannya untuk menghantar MyKad dan MyKid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan ke Keningau, Sabah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Jariah Mohd Said berkata surat arahan yang didakwa kononnya dikeluarkan oleh ibu pejabat JPN itu adalah palsu dan pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Putrajaya pada Rabu untuk menyiasat perkara itu.

"Ingin ditegaskan bahawa surat yang didakwa oleh pihak yang berkaitan adalah palsu. Kandungan surat tersebut mengandungi perkara-perkara yang diragui," katanya dalam satu kenyataan media di sini, Khamis.

Jariah berkata perkara yang diragui itu ialah seperti kepala surat yang menggunakan alamat Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan tajuk nombor rujukan yang digunakan pada surat itu juga bukan merupakan nombor rujukan jabatan.

Menurutnya Arahan Jabatan Bil. 14/2012 iaitu bertarikh 14 Disember 2012 juga didapati tidak wujud, sebaliknya arahan terakhir yang dikeluarkan oleh JP Nadalah berhubung pindaan agama penduduk Sabah dan bertarikh 24 Disember 2012.

"Arahan Jabatan sebagaimana yang didakwa juga tidak ditandatangani oleh Pengarah Bahagian serta tiada sebarang catatan 'b.p.'

"Cetakan nama kementerian pada kaki surat merujuk kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan media memetik naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengenai surat arahan tersebut kononnya dari jabatan itu. BERNAMA

Artikel Lain