suria

Jangan Lupa Rasa Sayang, Cinta Pada Wilayah Persekutuan - Raja Nong Chik

KUALA LUMPUR: Warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diseru supaya tidak sesekali melupakan rasa sayang dan cinta mereka terhadap Wilayah Persekutuan bagi memastikan kesejahteraan dapat dikekalkan.

Justeru, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berharap tema 'Perpaduan Teras Kesejahteraan Wilayah Persekutuan' sempena sambutan Hari Wilayah pada Jumaat, akan terus subur dan mekar di hati rakyat.

"Kepada warga Wilayah, tugas dan tanggungjawab kita adalah besar dan masih banyak perkara perlu dilunaskan bersama, supaya dapatlah terus menikmati kemajuan dan pembangunan yang dikecapi hari ini untuk anak-anak dan cucu mendatang.

"Kalau ada keruh di hati, buanglah dan ambil yang jernih untuk memenuhi setiap impian dan harapan kita agar terus menikmati perpaduan yang kukuh," katanya dalam perutusan khas beliau sempena sambutan Hari Wilayah malam Khamis.

Beliau berkata 1 Februari menjadi satu perayaan bermakna kerana tarikh itu merupakan simbol dan lambang penyatuan dalam membentuk kualiti perpaduan yang sebenar bagi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

"Menerusi tarikh itu juga, kita telah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di antara satu sama lain, serta saling berkaitan menjadi tiga serangkai dalam Wilayah Persekutuan yang maju dan sejahtera, di bawah payung kementerian yang sentiasa bersemangat serta bertenaga dan dinamik.

"Atas dasar penyatuan tiga Wilayah Persekutuan inilah juga bukti praktis nilai perpaduan terbaik telah terbentuk dengan sendirinya bagi mengangkat rasa komitmen serta kebersungguhan hati dan jiwa setiap rakyat menjadi satu dan tidak boleh dipisahkan," katanya.

Raja Nong Chik berkata inilah keunikan Wilayah Persekutuan kerana di dalamnya terkandung inti nilai perpaduan yang tulen dan tertanam dalam jiwa seluruh rakyat. BERNAMA

Artikel Lain