suria

Henti Pergunakan Isu Islam Untuk Kepentingan Diri Sendiri - Jakim

KUALA LUMPUR: Semua pihak di negara ini perlu menghentikan perbuatan mempergunakan isu Islam bagi kepentingan diri sendiri bagi memastikan kesucian Islam tidak tercemar dan perpaduan umat Islam sentiasa teguh.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Razali Shahabudin berkata perbuatan memperguna isu semasa melibatkan Islam bagi kepentingan tertentu juga boleh mengancam ketinggian martabat Islam di kalangan masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Katanya pihak yang beragama Islam perlu melakukan perhijrahan minda kepada sebuah pihak intelektual yang mempertahankan agama Islam menggunakan ilmu di dada mereka, bukan kekal mempergunakan Islam untuk kepentingan tertentu.

"Umat Islam pada masa ini menghadapi cabaran yang amat getir daripada musuh Islam, maka ilmu ini perlu diterjemah menjadi senjata dalam mempertahankan martabat Islam di mata dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini. Lebih 1,000 orang hadir pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali.

Majlis itu juga menyaksikan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia menerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan tahun ini. Persatuan itu diwakili Yang Dipertuanya Zakaria Yahya menerima anugerah berbentuk piala iringan serta wang tunai RM10,000 disampaikan Razali.

Razali berkata dalam memperjuangkan isu semasa berkaitan Islam, semua pihak perlu mengikut teladan yang ditunjukkan Rasullulah SAW yang bersifat lembut dan sentiasa sabar dalam menghadapi sebarang ancaman.

"Ancaman ini dahulu kita lihat berada di belakang tabir dan mengambil pendekatan 'baling batu sembunyi tangan', namun sejak akhir-akhir ini ia mula menonjolkan diri dan menentang secara berhadapan.

"Maka umat Islam perlu bersatu padu dan tidak sama sekali berpecah dalam menghadapi ancaman ini. Ambil teladan daripada Rasullulah SAW yang menyatukan umat Islam bagi mempertahankan agama suci ini," katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata anugerah itu akan membuatkan persatuan itu berusaha lebih gigih di masa hadapan bagi memastikan syiar Islam sentiasa terjaga di kalangan orang kurang upaya di negara ini.

"Kita akan teruskan usaha kita antaranya memperkasa program al-Quran braille berkomputer yang kita usahakan selama ini, selain mencari jalan lain bagi orang kurang upaya menghayati agama suci Islam ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain