suria

Geng Vijay Tumpas, 23 Kes Samun Sekitar Ampang Jaya Selesai

KUALA LUMPUR: Polis dapat menyelesaikan 23 kes samun dalam rumah sekitar Ampang Jaya berikutan penahanan empat lelaki di sebuah rumah di Pandan Jaya di sini pada 22 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata seorang daripada suspek adalah warga tempatan manakala tiga lagi warga Myanmar yang berusia antara 22 dan 27 tahun.

Beliau berkata 'Geng Vijay' dipercayai aktif di sekitar Lembah Klang dan Seremban sejak awal tahun lepas.

"Siasatan awal kami mendapati mereka bergerak secara berkumpulan dengan menggunakan sebuah kereta curi jenis Toyota Avanza dan menjadikan rumah mewah dan sederhana sebagai sasaran," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Dearah Ampang Jaya, Khamis.

Amiruddin berkata kumpulan itu dipercayai melakukan aktiviti samun dari 12 tengah hari hingga 6 pagi.

Katanya, polis telah merampas pelbagai jenis barangan termasuk dua komputer riba, beberapa telefon bimbit serta sebilah pedang samurai dan kesemua suspek ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain