suria

Doktor Didakwa Keluar Kata-Kata Kesat Terhadap Pengetua Sekolah

PETALING JAYA: Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pengetua sekolah di Subang Jaya.

Raymond Abd Rahman Abdullah, 44, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tujuan mengaibkan Lee Huat, 56, di bilik pejabat mangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Jaya, SS14, Jalan SS14/6, Subang Jaya, pada 2.15 petang, 4 Julai tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, Raymond dan isterinya, Marinah Hashim, 39, didakwa mengeluarkan kata-kata tidak senonoh di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Subang Jaya pada 8 pagi, 16 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM500, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Nazri Omran membenarkan Raymond diikat jamin RM4,500 bagi kedua-dua pertuduhan dan RM2,000 bagi Marinah sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin yang sama, serta menetapkan 13 Mac untuk tarikh sebutan. BERNAMA

Artikel Lain