suria

Tempahan Dakwat Kekal Sudah Dilaksana - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat tempahan dakwat kekal yang akan digunakan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tarikh tempahan serta tarikh penghantaran akan dilakukan.

"Untuk persediaan bagi proses tempahan sehinggalah penghantaran memerlukan kira-kira dua atau tiga bulan dan dakwat itu boleh tahan untuk digunakan selama enam bulan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web khas untuk PRU ke-13 di sini, Rabu.

Penggunaan dakwat kekal antara cadangan yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dan dakwat akan dicalit di jari telunjuk kiri pengundi.

Mengenai pengundi luar negara, beliau berkata sehingga hari ini sejumlah 1,000 permohonan pengundi luar negara telah diterima oleh SPR dan setakat ini tiada sebarang rungutan diterima berhubung perkara itu.

"Sekurang-kurangnya 100 permohonan diterima SPR setiap hari dan permohonan daripada rakyat Malaysia yang menetap di Australia paling ramai diikuti United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat dan China," katanya.

Tempoh memohon kemudahan mengundi secara pos dibuka SPR sejak 21 Januari lepas sehingga 12 tengah malam hari Parlimen dibubar kelak. - BERNAMA

Artikel Lain