suria

SPR Lancar Portal Khas PRU-13 Online Sebagai Pusat Rujukan Orang Ramai

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu melancarkan portal PRU Ke-13 Online (www.spr13.gov.my) bagi memberi maklumat secara tepat dan jelas kepada pengguna berkaitan pilihan raya yang bakal berlangsung.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia bagi mengelakkan kesilapan maklumat dan memberi penjelasan kepada sebarang keraguan yang dijangka berlaku sepanjang pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Portal ini merupakan kali pertama kita lancarkan khas untuk pilihan raya kali ini dan dengan portal ini pemilih boleh mendapatkan maklumat terkini tentang apa yang berlaku dalam pilihan raya yang berlangsung.

"Kita juga akan sentiasa kemaskini maklumat di setiap kawasan dan beri penjelasan tentang sebarang spekulasi yang timbul dan menjadi keraguan semua pihak," katanya pada majlis pelancaran "Pru Ke-13 Online", di sini, Rabu.

Beliau berkata portal ini akan turut membantu pengundi dari luar negara untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung proses pilihan raya yang akan berlangsung nanti.

"Kita dapat maklum balas pengundi luar negara yang ingin mengetahui perkembangan dari semasa ke semasa tentang PRU-13.

"Selain itu juga ia akan memudahkan pihak media untuk mendapatkan rujukan dan maklumat," katanya lagi.

Artikel Lain