suria

Sindiket Dadah Antarabangsa Tumpas, Heroin RM3.2 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Satu sindiket dadah antarabangsa melibatkan lapan rakyat Nigeria dan tiga warga Mongolia tumpas apabila polis menahan mereka serta merampas 80.1 kilogram dadah jenis heroin tulin ('brown sugar') bernilai RM3.2 juta pada Sabtu (26 Januari) lepas.

Kesemua rakyat Nigeria itu lelaki manakala warga Mongolia itu pula terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata heroin itu dibentuk menyerupai buah kurma dan diseludup melalui laluan laut dari Pakistan.

Bercakap pada sidang akhbar di sini pada Rabu, beliau berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di sekitar Subang Jaya, Damansara dan Puchong.

"Serbuan dilakukan kira-kira 1.30 pagi di sebuah kondominium di SS12/1, Subang yang membawa kepada penangkapan seorang wanita Mongolia dan rampasan 78.76 kilogram heroin.

"Tidak lama kemudian, polis menangkap sepasang kekasih warga Mongolia di sebuah kediaman di SS15/2, Subang Jaya dan merampas 1.22 kilogram lagi heroin," kata Noor Rashid.

Susulan itu, polis menahan lapan lelaki Nigeria empat di Puchong dan bakinya di Damansara serta merampas sejumlah heroin.

"Mereka yang ditahan berumur antara 21 dan 38 tahun dan tujuh daripada mereka memiliki visa 'multiply entry' untuk belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia," kata Noor Rashid.

Siasatan mendapati sindiket itu menggunakan wanita Mongolia sebagai 'keldai dadah' Beliau berkata suspek kini ditahan reman sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan kali ini adalah hasil kerjasama perkongsian maklumat antara pihak kami bersama pihak kastam Pakistan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain