suria

Polis Buru Lelaki Larikan Wang Tunai RM540,000 Di Kelana Jaya

KUALA LUMPUR: Polis kini memburu seorang lelaki yang melarikan dua karung mengandungi wang tunai berjumlah RM540,000, dalam kejadian rompakan awal pagi Selasa di Kelana Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata kejadian berlaku pukul 2 pagi ketika empat pekerja syarikat keselamatan sedang memindahkan wang dari van keselamatan ke sebuah bank.

Ketika mereka sibuk memindahkan karung berisi wang terbabit, seorang lelaki yang menaiki motosikal menghampiri van itu dan bertindak melarikan dua karung yang berada di belakang van berkenaan.

"Kejadian itu langsung tidak disedari pemandu van yang sedang menunggu empat lagi rakannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya kejadian hanya disedari seorang daripada mereka apabila melihat motosikal itu memecut meninggalkan tempat kejadian.

Arjunaidi berkata polis telah menahan lima pekerja terbabit termasuk seorang penyelia yang terlibat dalam proses pemindahan wang berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan ada pembabitan orang dalam, berkata polis kini meneliti rakaman litar tertutup bagi mendapat petunjuk.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar tampil membantu siasatan polis. -BERNAMA

Artikel Lain