suria

PM Lancar Four Seasons Place KL Pertama Di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melancarkan Four Seasons Place yang pertama di Asia Tenggara, sebuah pembangunan bernilai RM2.5 bilion oleh Venus Assets Sdn Bhd.

Pengerusi Venus Assets Tan Sri Syed Yusof berkata pembangunan 1.5 juta kaki persegi dijangka siap dibina dalam masa empat tahun dan selepas itu akan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

"Ia akan memberi kesan kepada industri-industri lain seperti pembekal, kontraktor, arkitek, jurutera dan bank," katanya pada majlis pelancaran itu di sini Rabu.

Turut menyaksikan pelancaran tersebut adalah DYM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, Najib berkata projek ini dan banyak lagi yang serupa dengannya, menunjukkan kedua-dua pelabur dan pemaju mengiktiraf kekukuhan asas ekonomi Malaysia.

"Bukan hanya ia menunjukkan bentuk pertumbuhan yang akan mendorong Malaysia mencapai Wawasan 2020 dan selepasnya, tetapi ia juga menandakan keyakinan pelabur terhadap modal kita, negara kita dan ekonomi kita," katanya dalam ucapannya.

Pembangunan bersepadu Four Seasons Place terdiri daripada bangunan 65 tingkat melibatkan lebih 300,000 ruang jualan mewah, dilengkapi lebih 231 bilik hotel serta hotel apartmen berservis dan kediaman dengan keluasan daripada 1,300 hingga 12,000 kaki persegi seunit.

"Four Season Hotel akan memberikan perkhidmatan hotel lima bintang bertaraf antarabangsa terbaik kepada tetamu dan penghuninya," tambah beliau.

Four Seasons Place dan Four Seasons Hotel Kuala Lumpur akan dikendalikan oleh Four Seasons Hotel and Resort. BERNAMA

Artikel Lain