suria

Pengusaha Pelancongan Turut Sedih Dengan Kematian Gajah

TAWAU: Pengusaha pelancongan di sini turut terkejut dan merasa sedih dengan kematian 10 ekor gajah Pygmy Borneo beberapa minggu lalu di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara kira-kira 150 kilometer dari sini, yang dipercayai telah diracun.

Ahli Jawatankuasa Sabah Travel & Tour Association (SATTA), Francis Chong berkata perbuatan membunuh gajah yang sinonim dengan Pulau Borneo itu sangat kejam dan menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukannya.

"Sebagai pemain industri pelancongan, saya sangat sedih. Mengapa mereka perlu membunuh gajah-gajah ini. Kalau pun gajah itu mengganggu, mereka tidak patut membunuhnya sedemikian rupa. Mereka boleh panggil pihak berkuasa seperti Jabatan Hidupan Liar untuk menghalaunya.

"Kejadian ini amat malang bagi pemain industri seperti kami. Saya tidak pasti apa bentuk tindakan yang bakal diambil kerajaan tetapi tindakan tegas mesti diambil. Bukan satu dua ekor gajah yang mati tetapi sepuluh. Memang kejam," katanya.

Chong yang juga Pengarah Urusan Supremo Travel Sdn Bhd berkata demikian ketika mengulas kejadian 10 ekor gajah Pygmy Borneo yang mati beberapa minggu lalu yang seorang veterinar Dr Sen Nathan dipetik sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan gajah-gajah berkenaan diracun.

Chong berkata gajah-gajah berkenaan tidak patut dibunuh lebih-lebih lagi ia adalah sepesis terancam.

Beliau mencadangkan supaya pihak yang bertanggungjawab membunuh gajah-gajah berkenaan dihukum penjara lebih lama atau didenda RM10,000 bagi setiap ekor gajah yang mati kerana baginya denda RM10,000 atau penjara setahun bagi kesalahan berkenaan tidak memadai.

"Jika anda denda mereka sehingga RM100,000 pun tidak menjadi masalah kepada pesalah kerana mereka boleh membayarnya. Apatah lagi kejadian seperti ini boleh menjejaskan imej pelancongan kita di Sabah daripada kaca mata pelancong asing," katanya.

Menurut Chong salah satu daya tarikan pelancong ke Sabah ialah gajah Pygmy Borneo yang boleh dijumpai di kawasan Lembah Maliau, Tabin serta Sukau dan pelancong sanggup datang jauh dari seluruh pelusuk dunia semata-mata untuk melihat spesis gajah kecil berkenaan.

Mengimbau peristiwa seorang pelancong Australia diserang gajah di kawasan Hutan Simpan Tabin sebelum ini, Chong bekata walaupun kita bersedih dengan peristiwa itu namun disebabkan gajah Pygmy Borneo itu mereka sanggup datang untuk melihatnya. - BERNAMA

Artikel Lain