suria

Nik Aziz Tidak Halang Kerajaan Pusat Bina Rumah PPR Di Kelantan

GUA MUSANG: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak menghalang hasrat kerajaan persekutuan untuk membina 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi faedah rakyat negeri itu.

Kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan untuk membina projek perumahan itu di mana-mana sahaja kawasan yang dipilih, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Geran Hak Milik Tapak Rumah Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir, di sini, Rabu.

Seramai 81 daripada 196 peneroka yang tinggal di RKT Kesedar Lebir sejak lebih 30 tahun lalu, menerima geran hak milik bagi tapak rumah masing-masing walaupun Kesedar membayar premium keseluruhan RKT bagi mendapatkan geran hak milik daripada kerajaan negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Kelantan baru-baru ini mengumumkan tujuh projek besar untuk dilaksanakan bagi faedah rakyat negeri itu termasuk 1,000 unit rumah PPR yang kedua selepas projek pertama dilaksanakan di Gua Musang.

Sementara itu, Nik Aziz mempersoalkan tujuan kerajaan persekutuan mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan, sedangkan katanya kerajaan negeri ada kemampuan sama melaksanakan projek asalkan disalur peruntukan.

"Ini lain yang berlaku di negeri Kelantan apabila segala peruntukan melalui JPP. Kita ada juga bahagian audit bagi mengauditkan segala perbelanjaan seperti kerajaan pusat juga," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain