suria

Negeri S'gor Tulis Surat Hasrat Ambil Alih Pengurusan Air Kepada K'jaan Persekutuan

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa mereka berhasrat untuk mengambilalih kesemua konsesi air di negeri itu termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Dan mereka mahu melakukannya dalam tempoh 14 hari.

Mentri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan, surat itu ditujukan kepada Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Peter Chin pada Rabu.

Menurut Khalid pihak kerajaan negeri bertindak demikian kerana berpegang kepada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air di Sabak Bernam baru-baru ini yang kerajaan pusat tidak ada masalah jika Selangor mahu mengambil alih pengurusan air di negeri itu.

"Kami telah membuat tawaran dan jika seandainya soal harga yang menjadi isu di sini, kami minta kerajaan pusat supaya bersetuju perkara tersebut diselesaikan oleh timbang tara antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, pada Rabu.

Buat masa ini terdapat empat syarikat konsesi air di Selangor iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash), Konsortium Abbas, Syabas dan Puncak Niaga.

Bidaan pertama oleh Kerajaan Selangor untuk mengambil alih konsesi air di negeri itu dibuat pada tahun 2009, pada harga RM5.7 bilion tetapi tawaran itu ditolak oleh kesemua pemegang taruh.

Tawaran kedua bernilai RM9.2 bilion sekali lagi dibuat tahun lalu tetapi ditolak oleh Puncak Niaga dan Syabas.

Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan pegangan saham dalam Syabas.

Artikel Lain