suria

Mohd Ali Cabar PAS Pecat Nasharuddin

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencabar PAS memecat Nasharuddin Mat Isa sebagai anggota parti itu selepas menggugurkannya daripada pelbagai jawatan dalam parti itu.

Sambil mempersoalkan mengapa PAS tidak berbuat demikian, beliau berkata mungkin PAS takut kehilangan sokongan kerana bekas timbalan presiden PAS itu masih mempunyai pengaruh yang kuat.

"Saya nak tengok apakah PAS berani pecat Nasharuddin...saya cabar Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pecat Nasharuddin.

"Mengapa mereka tak pecat, nampak mereka ini takut pada Nasharuddin kerana beliau mungkin lagi hebat daripada pemimpin tertinggi PAS yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Tun Sri Lanang, Sekolah Menengah Kebangsaan Malim dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan PMR 2012 di sini, Rabu.

Beliau mengulas pemecatan Nasharuddin daripada Majlis Syura Ulama PAS dan tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bachok.

Sementara itu, Mohd Ali berkata pembinaan dewan bernilai RM520,000 hasil sumbangan kerajaan negeri dan Jabatan Perdana Menteri itu bertujuan menambahbaik kemudahan di sekolah tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain