suria

'Jangan Laju Bro, Kampung Tak Lari Ke Mana' Tema Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baru Cina

PETALING JAYA: Dalam usaha membantu kerajaan menangani kadar kemalangan jalan raya menjelang Tahun Baharu China ini, Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) akan mengedar poster dan pelekat kereta dengan tema 'Jangan Laju Bro. Kampung tak lari ke mana'.

Poster serta pelekat kereta yang mempunyai tema itu akan diedar kepada pengguna di rumah tol semua lebuh raya seluruh negara sepanjang kempen itu yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Yang Dipertua PSKLM Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata tema yang menggunakan bahasa mudah dan ringkas itu dipilih kerana ia lebih dekat di hati dan senang diingat oleh pemandu di negara ini.

"Ia lebih 'catchy' (menarik) tapi dalam masa sama berkemampuan menyampaikan mesej yang besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Awan Besar, di sini Rabu.

Turut hadir Ketua Pengarah LLM Datuk Ismail Md Salleh.

Noorizah berkata beberapa selebriti seperti Amber Chia, Nash Lefthanded, Usop Wilcha dan pelakon Zul Ariffin akan menyertai kempen itu dengan menyampaikan nasihat dan panduan pemanduan berhemah kepada pengguna jalan raya.

"Sesi jelajah akan diadakan di R&R Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara-Selatan pada 2 Feb untuk membolehkan pihak pengurusan dan selebriti bertemu pengguna bagi mendapatkan respon berhubung kualiti dan tahap perkhidmatan lebuh raya," katanya.

Selain itu, Noorizah yang juga Pengarah Urusan Projek Lebuh Raya Usahasama Berhad (Plus), berkata 99 peratus kemalangan di lebuh raya negara ini berpunca daripada sikap pemandu yang tidak mengutamakan aspek keselamatan dalam pemanduan.

Antara faktor utama kemalangan ialah memandu dalam keadaan mengantuk dan letih serta memandu melebihi had laju yang ditetapkan, katanya.

Sementara itu, Amber berkata beliau aktif dalam kempen keselamatan jalan raya kerana pernah kehilangan beberapa individu rapat termasuk seorang bapa saudara akibat kemalangan.

"Kematian disebabkan kemalangan lebih sukar untuk dihadapi keluarga berbanding meninggal akibat sakit kerana ia berlaku secara tiba-tiba," katanya.

Penyanyi Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias yang pernah mengalami saat cemas apabila keretanya dilanggar lori pula memberitahu, pemandu kenderaan berat perlu lebih menghormati pengguna jalan raya. - BERNAMA

Artikel Lain