suria

Isu Kalimah Allah Tidak Perlu Timbul - Bekas Ketua Hakim

KUALA LUMPUR: Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seharusnya tidak timbul kerana ia telah termaktub di bawah undang-undang di 10 negeri yang menetapkan penggunaannya hanya untuk orang Islam sahaja.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata semua pihak harus menghormati peruntukan undang-undang tersebut dan tidak mempersoal mahupun membangkitkan perkara itu sama sekali.

Tegasnya Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan bahawa Islam merupakan agama rasmi negara, justeru semua pihak termasuk bukan Islam perlu memahaminya serta tidak menuntut perkara yang tidak sepatutnya.

"Perlembagaan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman damai, namun apa yang berlaku sekarang ada pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah untuk bukan Islam.

"Ini bermakna bukan Islam tidak mengamalkan agama mereka secara aman damai dan ini boleh mencetuskan perbalahan...kita juga tidak tahu apa motif mereka (pihak yang menuntut penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat draf asas Memorandum kepada Majlis Raja-Raja berhubung Isu Mempertahankan Kesucian Nama Allah di sini, Rabu.

Sehubungan itu, selaku Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berkaitan Islam, Ahmad Fairuz berkata pihaknya akan menyiapkan satu memorandum untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata memorandum itu dirangka untuk memohon dan merayu Majlis Raja-Raja yang dianggotai Sultan dan Raja Melayu selaku ketua agama Islam di setiap negeri supaya mengeluarkan satu ketetapan khusus untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan kesucian agama itu.

"Memorandum ini juga mengandungi petisyen daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang menolak sama sekali sebarang cubaan untuk mengganggu gugat kesucian Islam dan jika tiada sebarang halangan (memorandum) akan diserahkan kepada pihak Majlis Raja-Raja pada penghujung Februari ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain