suria

Bicara Kes Saman Zulkifli Nordin Terhadap Syed Ali 7 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 7 hingga 14 Jun untuk perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin terhadap anggota veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu pada prosiding yang dihadiri peguam Mohd Ruzaini Zulkifli yang mewakili Zulkifli dan peguam Latheefa Koya bagi pihak Syed Husin.

Zulkifli memfailkan saman berkenaan pada 27 Ogos tahun lepas kerana mendakwa Syed Husin memfitnahnya dalam sebuah buku bertajuk 'Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali'.

Dalam pernyataan tuntutan, Zulkifli mendakwa Syed Husin secara palsu dan dengan niat jahat menerbitkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya dalam bab tujuh buku itu, yang bertajuk 'Keadilan Menghadapi Cabaran' di bawah sub artikel 'PR Kecil Permatang Pauh'.

Zulkifli menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan daripada Syed Husin selain perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan perkataan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain