suria

Bekas Ahli DAP Lapor SPRM Isu Dana Bantu Masa Perang

PUTRAJAYA: Beberapa bekas anggota DAP membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana untuk membantu mangsa perang di Sri Lanka yang dikutip daripada orang ramai pada 2009.

Menurut bekas Ketua Cawangan DAP Sungai Pelek, Tan Tuan Tat laporan dibuat supaya SPRM dapat menyiasat berapa jumlah kutipan sebenar dan ke mana wang itu disalurkan.

"Apa yang kami lakukan adalah kehendak sendiri bukan disuruh mana-mana pihak, harap SPRM dapat menjalankan siasatan kerana ia membabitkan duit rakyat," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata laporan terpaksa dibuat kerana sebelum ini mereka telah cuba memohon penjelasan tetapi tidak dipedulikan oleh pihak berkenaan.

Sebelum ini, Penasihat Jawatankuasa Pengumpulan Dana itu, P. Ramasamy mengeluarkan kenyataan bahawa sebanyak RM73,451.40 sudah didepositkan kepada Mercy Mission yang berpangkalan di United Kingdom manakala setiausahanya, M Satees berkata hanya RM65,000 didepositkan daripada nilai keseluruhan kutipan iaitu RM73,960.40.

Isu itu bertambah mengelirukan apabila salinan borang pengiriman wang Public Bank pada 11 Jun 2009 pula menunjukkan sebanyak RM73,481.40 didepositkan kepada Mercy Mission United Kingdom. BERNAMA

Artikel Lain