suria

Rangka Wanita Ditemui Berhampiran KLIA

SEPANG: Rangka seorang wanita tanpa kepala ditemui pada rimbunan pokok mengkuang berdekatan Pusat Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa.

Rangka itu ditemui seorang pekerja pembersihan Sukirno Sukar, 53, pada pukul 11.30 pagi.

"Saya merasa pelik kerana mayat reput itu tidak mempunyai kepala. Saya memeriksa kawasan sekeliling dan jumpa kepala wanita itu tergantung pada pokok serta diikat dengan tali," katanya kepada pemberita.

Turut ditemui bersama ialah pasport dipercayai milik wanita itu, kad kredit dan sejumlah wang kertas China.

Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abdul Rahman ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati tiada tanda hentakan atau kecederaan pada bahagian kepala mangsa. "Peringkat awal polis klasifikasikan sebagai kematian mengejut, mayat dah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, kemudian akan lihat hasil bedah siasat sama ada kematian mengejut atau sebaliknya," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga atau rakan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain