suria

Polis Tahan Lelaki, Rampas Rokok Seludup Bernilai RM50,000

GUA MUSANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 1,750 karton rokok bernilai RM50,000 dipercayai diseludup, dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kampung Pulai, di sini Isnin.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kenderaan itu ditahan pada 6.30 petang selepas polis mendapat maklumat bahawa kereta itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai, memuatkan beberapa kotak besar.

Beliau berkata sebaik polis peronda menemui kereta itu berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kampung Tanah Puteh, pemandunya cuba memecut kenderaan memasuki Jalan Kampung Pulai.

"Anggota kami mengejar sejauh dua kilometer sebelum menahannya dan semasa pemeriksaan menemui 1,750 karton rokok dalam 35 kotak besar dalam kenderaan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di sini, Selasa.

Saiful Bahri berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan untuk membantu siasatan berhubung penemuan rokok yang dipercayai diseludup sebelum dipasarkan ke Kelantan. -BERNAMA

Artikel Lain