suria

Permohonan Lesen Perubahan Sementara Untuk Tahun Baru Cina Dibuka

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Selasa mengumumkan bahawa permohonan untuk mendapatkan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi perayaan Tahun Baru Cina telah dibuka bermula 29 Januari hingga 7 Februari 2013.

SPAD dalam satu kenyataan pada Selasa berkata permohonan hendaklah dibuat oleh syarikat-syarikat bas ekspres untuk menggunakan bas sekolah, bas pekerja, bas catar, bas berhenti-henti dan bas persiaran sebagai perkhidmatan bas ekspres tambahan bagi menampung permintaan orang ramai sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina 2013.

Katanya, SPAD menyeru pengendali bas ekspres untuk memohon LPS dengan lebih awal.

"Ini akan membantu para pengendali untuk membuat perancangan yang lebih efektif dari segi kekerapan, laluan dan jumlah bas, sekaligus memastikan perkhidmatan yang selamat diberikan kepada pengguna semasa musim perayaan tersebut," katanya.

SPAD menjangka akan menerima sebanyak 2,000 permohonan LPS pada tahun ini. "Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah hanya bas-bas yang berusia tidak melebihi 15 tahun sahaja yang boleh digunakan sebagai bas ekspres tambahan selain dari mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah.

"Semua bas ekspres tambahan hendaklah mempamerkan kelulusan LPS dan maklumat bas ekspres tambahan di dalam semua bas ekspres tambahan yang berkenaan," katanya. Pada masa yang sama, Bahagian Penguatkuasaan SPAD akan menggandakan operasi pada musim perayaan nanti bagi memastikan sebarang aktiviti yang tidak sihat dapat dikawal sepenuhnya.

"Kami menyeru kepada semua pengendali untuk berhubung atau berjumpa dengan pihak SPAD berkenaan sebarang kemusykilan mahupun pertanyaan berhubung penggunaan bas ekspres tambahan ini.

"Apa yang penting adalah keselamatan penumpang mestilah diutamakan," katanya.

Artikel Lain