suria

Permohonan Baru Tubuh IPTS Dibeku Mulai 1 Februari- Khaled

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membekukan atau mengadakan moratorium ke atas penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) baharu yang berstatus universiti, kolej universiti, dan kolej bagi tempoh dua tahun mulai 1 Februari ini.

Bagaimanapun, menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pengecualian diberi kepada permohonan IPTS yang sedang diproses, yang telah memohon dinaik taraf, kampus cawangan luar negara yang mempunyai ranking terbaik dunia dan dibina dalam hab pendidikan.

"Selaras dengan perkembangan sektor pendidikan yang dinamik khususnya pengajian tinggi swasta hari ini, kementerian perlu lebih terbuka dalam menyemak semula semua peraturan dan garis panduan semasa supaya bersifat lebih menyeluruh.

"Perkara ini bagi menyokong pelaksanaan dasar liberalisasi pengajian tinggi yang bakal menjadikan sektor pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing dan setanding dengan negara maju," katanya ketika berucap sempena majlis Amanat Tahun Baharu 2013 kementerian itu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata inisiatif semakan semula terhadap peraturan-peraturan dan garis panduan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 akan dilaksanakan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa dipengerusikan Naib Canselor Universiti Taylor.

Jawatankuasa itu akan mula menjalankan tugas Februari ini dan dijangka inisiatif semakan semula dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Mohamed Khaled berkata sehingga 30 November tahun lalu, terdapat 37 buah universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan 414 kolej swasta di negara ini. "Kementerian berpandangan jumlah IPT di negara telah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi sama ada dari dalam dan luar negara. Walaupun permohonan ke IPT masih tinggi, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa IPT mengeluarkan graduan melebihi kehendak pasaran.

"Oleh itu, bilangan IPTS yang ditubuhkan ketika ini wajar dikawal untuk memberi fokus kepada usaha memantapkan kualiti dan kelestarian IPT," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kementerian itu akan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 IPTS setiap tahun, berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung perkhidmatan dan prestasi IPTS tersebut atau dibuat secara rambang.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengenal pasti IPTS yang mempunyai risiko dan seterusnya mengambil tindakan penambahbaikan.

Mohamed Khaled berkata bagi memantapkan lagi sistem pengajian tinggi negara, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan pada 2007 juga akan dikaji semula. "Kajian PSPTN ini akan bermula bulan ini dan dijangka selesai September akan datang dan hasil kajian boleh dilaksanakan mulai tahun 2014," katanya.

Beliau menyarankan penubuhan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTCs) di setiap universiti berasaskan jurusan masing-masing dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal universiti untuk mentransformasikan komuniti.

Katanya, bagi menggalakkan penggabungan harta intelek dari semua IPT menghasilkan produk baharu atau produk nilai tambah, kementerian sedang menimbang menyediakan platform berpusat dengan membentuk bank harta intelek IPT yang dinamakan 'Idea Interchange and Connection Bank'.

Sementara itu, bagi memperkukuhkan lagi sumbangan universiti penyelidikan, beliau menyarankan agar universiti-universiti tersebut membentuk jaringan kerjasama iaitu Jaringan Universiti Penyelidikan Malaysia (MRUN) yang akan dipengerusikan secara bergilir-gilir.

Mohamed Khaled berkata selain itu, RM80 juta diperuntukkan untuk memperkenal program Makmal Pengurusan Berpusat (CLM) bagi meningkatkan kerjasama penyelidikan bersama pihak industri.

"Program ini bertujuan memastikan perkongsian teknologi antara makmal penyelidikan IPT bersama industri ke arah memajukan jurusan strategik yang dikenal pasti seperti Nanoteknologi, Bioteknologi dan Automatif, sekali gus membantu kemajuan industri negara, khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS)," katanya.

Bagi meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan di IPT, satu sistem pengurusan geran-geran penyelidikan secara online turut dilancarkan hari ini lengkap dengan ciri-ciri laman sosial dan akses kepada bahan-bahan penyelidikan melalui Portal Penyelidikan MyGRANTs yang akan membantu memudahkan kerja penyelidikan. -BERNAMA

Artikel Lain