suria

Penyebaran SMS Iklan Kepada Pengguna Telefon Sedang Dikaji

KUALA LUMPUR: Kemeterian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sedang melihat kepada penyebaran iklan menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) bagi mengelakkan pengguna diganggu oleh mesej yang diundang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementeriannya telah menerima banyak aduan berhubung penyebaran iklan melalaui SMS dan ada di antaranya mempunyai unsur seks.

“SMS yang dihantar kepada pengguna telefon sepatutnya tidak mengandungi mesej yang ingin memasarkan sesuatu produk,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Sektor Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur bagi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di sini pada Selasa.

Rais berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menilai aduan berkenaan serta berunding dengan syarikat telekomunikasi bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau turut mengesahkan bahawa kementeriannya akan menilai kembali kos memuat turun lagu secara atas talian bagi memastikan syarikat rakaman serta penyanyi mendapat keuntungan sepatutnya daripada transaksi tersebut.

Rais turut menasihatkan industrik pengiklanan di negara ini supaya memaparkan imej dan gambar masyarakat Malaysia dan Asia bagi mengimbangi wajah orang Europah yang terlalu banyak dipaparkan pada papan iklan mereka.

“Kita minta pihak industrik, selain memfokuskan kepada nilai pengiklanan, mereka juga perlu menitik beratkan nilai estetika dan budaya masyarakat tempatan pada papan iklan, dan ada lebih baik jika mereka memperbanyakkan wajah orang Malaysia di sana,” katanya.

Mengenai mesyuarat NKEA, Rais berkata pada 2012 industri kreatif mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, dengan hasil pendapatan sebanyak RM12 bilion berbanding RM11 bilion pada 2011.

Beliau berkata sektor pengiklanan mencatatkan peningkatan paling tinggi, dengan mencatatkan keuntungan sebanyak RM10 bilion sementara sektor eksport bagi industri perfileman termasuk drama, dokumentari dan animasi turut mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.8 juta melibatkan 27 syarikat yang terlibat dalam industri tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain