suria

Opsyen Di Hadapan Ustaz Nasha...

Nasharudin Mat Isa
 Nasharudin Mat Isa
Nasharudin Mat Isa

PENGANALISIS politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain telah memberi kesimpulan yang sangat menarik mengenai masa depan karier politik bekas Timbalan Presiden PAS, YB Nasharudin Mat Isa yang kini sekali lagi dipukul badai dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS untuk memecatnya sebagai anggota.

Katanya, masa depan politik Ustaz Nasha bersama PAS telah berakhir. Tetapi itu bukanlah bermakna karier politik Ustaz Nasha terkubur.

Hakikatnya sejarah telah membuktikan belum ada nama besar dalam PAS yang sama ada dengan sukarela keluar dari parti itu atau disingkirkan dari parti itu berjaya dalam karier politik mereka di luar PAS.

Datuk Asri Hj Muda, bekas presiden PAS sendiri tenggelam dalam politik selepas keluar PAS. Bekas Naib Presiden Ustaz Nakhaei Hj Ahmad juga tidak berjaya mendaki kerjaya politik di luar PAS.

Oleh yang demikian apakah opsyen terbaik yang berada di hadapan Ustaz Nasha berhubung masa depan politiknya sendiri?

Dalam konteks ini, PAS boleh dikatakan bijak bermain politik. Mereka telah melakukan segala-galanya untuk menafikan kemaraan Ustaz Nasha dalam parti itu dengan pertama memastikan beliau gagal mempertahankan jawatannya dalam parti.

Kedua dengan langkah memecat keanggotaannya dalam Majlis Syura. Dan ketiga dengan mengumumkan sehari selepas itu yang namanya tidak tersenarai sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok yang dimenanginya pada tahun 2008.

Segala-galanya telah mereka lakukan kecuali satu perkara sahaja lagi - iaitu memecatnya sebagai anggota parti.

Terbaru, Ketua Majlis Syura PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat melakukan provokasi minda dengan berkata yang PAS kini tidak peduli jika Ustaz Nasha memilih untuk meninggalkan parti itu.

Sebenarnya, jika nak ikutkan Nik Aziz, dah lama Ustaz Nasha kena pecat - bukan sebagai anggota Majlis Syura tetapi sebagai ahli PAS.

Tetapi dalam konteks ini, Nik Aziz bukanlah ketua politik PAS. Ketua politik PAS adalah Haji Hadi Awang. Hadi dan pucuk pimpinan PAS telah belajar dari kesilapan mereka memecat Datuk Dr Hasan Ali.

Pemecatan Dr Hasan membuka ruang seluas-luasnya kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu untuk bergerak bebas atas apa jua badan sebagai bahtera politik.

Tetapi dalam konteks Ustaz Nasha, sebarang pukulan terakhir yang dilakukan ke atasnya mungkin akan membawa kesan yang tidak begitu menyenangkan memandangkan pilihan raya umum sudah semakin hampir. Risiko itu nampaknya menjadi perkiraan besar PAS dalam mengendalikan isu Ustaz Nasha buat masa ini.

Jadi tindakan politik yang terbaik yang dilakukan oleh PAS ialah mengenakan tindakan ‘gantung tak bertali’ ke atas Ustaz Nasha - buang semua kedudukan dalam parti melainkan keahliannya.

Dari sudut politik, ini adalah satu tindakan yang bijak.

Dengan bertindak demikian, mereka meletakkan kedudukan politik Ustaz Nasha dalam situasi yang sangat sulit.

Andainya Ustaz Nasha bertanding atas apa jua tiket pada pilihan raya umum nanti, beliau akan kelihatan ‘jahat’ dari kaca mata orang PAS kerana telah terang-terang mengkhianati parti.

Kalau beliau umum keluar untuk menyertai parti lain, katakan Umno misalnya, lagi lah akan dipandang ‘jahat’.

Jadi sekali lagi, apakah opsyen terbaik yang ada di hadapan Ustaz Nasha sekarang?

Dari sudut politik, jawapannya memang tidak ada. Kalau Ustaz Nasha masuk Umno, lagi reputasinya musnah. Perang saraf pertama yang akan dilancarkan oleh PAS ialah Ustaz Nasha dah kena beli dan gilakan jawatan.

Ustaz Nasha mungkin boleh bertanding atas tiket bebas tetapi itu pun bukannya satu opsyen yang terbaik baginya. Tidak mudah untuk menggerakkan jentera tanpa sokongan parti di peringkat akar umbi.

Oleh yang demikian pada pandangan penulis, adalah baik kiranya Ustaz Nasha lupakan politik kepartian buat sementara waktu.

Apatah lagi Ustaz Nasha sendiri dah kata, wadah perjuangan tidak semestinya berlandaskan politik kepartian. Di mana-mana pun boleh diteruskan perjuangan.

Mungkin lepas pilihan raya nanti, jika ditakdirkan Barisan Nasional kembali membentuk kerajaan, Ustaz Nasha sentiasa boleh diberi tempat untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agama - sama ada atas kapasiti menteri, penasihat agama kepada perdana menteri atau mempengerusikan mana-mana agensi yang berkaitan dengan agama.

Paling tidak pun, beliau layak untuk dilantik sebagai envoi khas Malaysia ke Timur Tengah sebagaimana Ong Ka Ting dilantik sebagai envoi khas ke China dan Samy Vellu sebagai envoi khas ke benua kecil India.

Dengan cara itu, imej Ustaz Nasha tidak akan tercalar oleh sepak terajang politik kepartian.

Artikel Lain