suria

MCPF Minta Pasukan Petugas Khas Ditubuhkan Cegah Kehilangan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mahu sebuah pasukan petugas berkuasa tinggi ditubuhkan untuk merangka strategi dan pelan tindakan yang berkesan bagi mencegah peningkatan kes kehilangan kanak-kanak.

Naib presidennya Tan Sri Lee Lam Thye berkata pasukan itu perlu dianggotai semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga mencadangkan agar strategi serta pelan tindakan berkenaan turut merangkumi usaha lebih giat bagi melindungi kanak-kanak daripada jenayah, keganasan dan semua bentuk penderaan; melaksanakan kempen berkesan di seluruh negara berkaitan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak yang melibatkan semua lapisan masyarakat; menetapkan peringkat usia kanak-kanak yang boleh ditinggalkan bersendirian; dan menimbang pelaksanaan peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 serta mengkaji apa jua pindaan yang perlu dibuat untuk menjamin kanak-kanak mendapat perlindungan dan keselamatan yang lebih baik.

"Berikutan begitu banyak jenayah keji yang dilakukan terhadap kanak-kanak kebelakangan ini seperti culik, pukul, dera, liwat, rogol dan bunuh, kita perlu melakukan lebih banyak usaha untuk melindungi mereka daripada bahaya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Lee juga mengalu-alukan keputusan Polis Subang Jaya membentuk pasukan petugas bagi menyiasat kes kematian William Yau Zhen Zhong,6, selepas hilang selama sembilan hari.

Semalam, polis mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang sudah reput, yang ditemui di kawasan jeti di Kampung Sungai Sireh pada 24 Jan, ialah Zhen Zhong, anak kedua pasangan suami isteri Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32.

Zhen Zhong dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang pergi ke sebuah kedai barangan elektrik. -BERNAMA

Artikel Lain