Lim Tidak Profesional Berhadapan Dengan Media - Pensyarah Komunikasi - Semasa | mStar

Lim Tidak Profesional Berhadapan Dengan Media - Pensyarah Komunikasi

GEORGE TOWN: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengelak daripada menjawab soalan para wartawan dari media arus perdana, kini mendapat kritikan pelbagai pihak.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia Prof Madya Mohamad Md Yusoff menyifatkan tindakan ketua menteri itu sebagai tidak profesional dan 'cakap tidak serupa bikin'.

Beliau berkata Lim yang sebelum ini sering melaung-laungkan kebebasan akhbar kini dilihat menyekat kebebasan akhbar untuk bertanyakan soalan.

"Jika Lim enggan menjawab soalan wartawan, beliau harus memberi penjelasan secara profesional dan bukannya menyindir golongan wartawan, sikap menyindir wartawan adalah sikap tidak profesional kerana beliau harus menangani kerenah media secara berhemah," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Lim enggan menjawab sebarang soalan wartawan dari media arus perdana termasuk Bernama, akhbar harian tempatan dan media elektronik mengenai isu kalimah Allah yang dicetuskan oleh beliau sendiri atas alasan golongan wartawan itu adalah dari media Umno atau Barisan Nasional.

Terbaharu beliau juga enggan menjawab soalan wartawan dari akhbar The Star atas alasan akhbar itu telah membuat laporan yang tidak tepat mengenai isu larangan penggunaan nama negeri Pulau Pinang dalam penganjuran sesuatu program atau acara oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Lim dilaporkan sebagai berkata beliau hanya akan mengeluarkan kenyataan akhbar untuk media arus perdana itu.

Mohamad berkata tindakan hanya mengedar kenyataan akhbar adalah tindakan tidak demokratik kerana wartawan hanya perlu menulis apa yang beliau cakap dan tidak diberi kebebasan untuk menyoal daripada kenyataannya.

Sementara itu, Presiden Kelab Pengamal Media Pulau Pinang Adie Suri Zulkefli berkata sebagai pemimpin tertinggi dalam sebuah negeri, Lim seharusnya bersedia menjawab apa-apa soalan daripada media walaupun ia melibatkan sesuatu isu.

"Beliau tidak boleh mengharapkan media hanya melaporkan cerita yang dirasakan baik mengenainya dan kerajaan negeri. Beliau kena bersedia untuk berhadapan dengan media apabila timbul sesuatu isu dan tidak seharusnya membeza-beza antara media arus perdana dan alternatif.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri pun tidak pernah menutup ruang untuk media alternatif bertanya. Apa yang berlaku kepada beliau bukan sesuatu yang eksklusif kerana turut dihadapi oleh semua pemimpin," katanya.

Adie Suri berkata sekiranya ketua menteri itu bimbang kenyataannya dimanipulasi, Lim boleh memilih media yang dipercayainya bagi menjawab sesuatu isu dan beliau tidak seharusnya mendiamkan diri sehingga kini. Ketua Biro Penerangan Barisan Nasional negeri Tan Cheng Liang berkata tindakan Lim itu jelas menunjukkan bahawa ketua menteri itu bukan seorang pemimpin yang baik dan beliau tidak matang.

Beliau berkata sikap Lim yang enggan menjawab soalan wartawan kerana takut dimanipulasi oleh media terutamanya media arus perdana tidak menggambarkan kebebasan media yang mahu diperjuangkannya sebelum ini.

"Beliau sepatutnya menjawab soalan daripada wartawan, kenapa mahu mengelak. Kalau sudah buat silap beliau kena akui. Jangan bersikap seperti kebudak-budakan...cuba mengelak daripada menjawab soalan.

"Rakyat ada hak untuk tahu. Wartawan mempunyai hak untuk bertanya dan mereka bertanya untuk rakyat. Jadi, mana penghormatan untuk wartawan bertanya? Kenapa tak boleh jawab, di mana dia ketelusan," katanya.

Tan yang juga Ketua Wanita MCA berkata Lim juga sepatutnya bertanggungjawab pada setiap soalan yang diutarakan wartawan dengan memberikan jawapan yang konkrit dan tidak memutar-belitkan fakta. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Lelaki Didakwa Miliki Senjata Berbahaya

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.